fbpx

Faizal Ismail buka sekolah pondok warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZAL ISMAIL

PETALING JAYA – Bekas penyampai radio, Faizal Ismail tidak menyangka hajat mencari pondok mengaji buat mentua membuka jalan kepadanya untuk mengusahakan sebuah pusat pengajian agama sendiri.

Faizal atau nama sebenarnya, Mohd. Faizal Ismail berkata, walaupun proses pembinaan bangunan hostel dan dewan belajar di Kuala Selangor itu dijangka siap tiga tahun lagi, kepercayaan pemilik tanah yang mewakafkan lokasi tersebut amat dihargai.

“Semuanya sudah diaturkan Allah dengan sebaik-baiknya kerana sebelum itu, saya dan isteri memang mencari tempat mengaji buat golongan warga emas di Lembah Klang atas permintaan mentua saya.

“Rupa-rupanya belum banyak pusat pengajian seumpama ini di sini berbanding di sebelah utara, jadi proses untuk mencari dan memilih lokasi mengikut kriteria mentua agak lambat.

“Kemudian kami meninjau pula Kuala Selangor sebelum dipertemukan dengan seorang ustaz yang terus menawarkan tanah untuk saya bina pondok sebaik saya nyatakan tujuan.

“Tak sangka pula semudah itu Allah lorongkan jalan. Sebelum ini saya dan isteri pernah memasang impian membuka pusat tahfiz kanak-kanak, namun melihat kepada keperluan, kami akan fokus kepada warga emas,” katanya kepada Kosmo! Online.

Kata Faizal, tumpuannya kini lebih kepada projek pembinaan pondok yang berkonsepkan bangunan moden untuk penghuni berusia 50 tahun ke atas menginap sambil belajar agama dan mengaji di situ.

Pada masa sama, pihaknya mengalu-alukan sokongan orang ramai andai ingin menyumbang bagi tujuan mewakafkan unit hostel penginapan.

“Segala-gala perancangan untuk projek ini sudah dimulakan, cuma ia mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan sepenuhnya. Apa pun harapan kami segalanya berjalan lancar mengikut jadual.

“Sebahagian besar pembiayaan pusat ini adalah daripada simpanan kami sendiri sekali gus sebagai saham akhirat untuk dikongsi pula bersama insan lain,” katanya.

Faizal Ismail, 46, sebelum ini melalui fasa perubahan dalam hidup apabila kembali kepada fitrah sebaik pulang daripada United Kingdom pada 2019.

Rata-rata peminat pengacara popular itu terkejut melihat perubahannya yang dianggap drastik apabila merahsiakan kepulangan selain mula menyertai jemaah tabligh.

Begitupun, kini ramai yang mengagumi transisi Faizal yang  istiqamah dalam melewati jalan Allah sama ada menerusi kehidupan atau kerjaya seninya.

Menyentuh mengenai karier, Faizal mengakui, susunan jadual untuk tugasan pengacaraan serta komitmen terhadap projek pusat pengajian sangat teratur.

Katanya, biarpun kini hanya mengambil tawaran mengelolakan rancangan televisyen seperti La Tahzan dan Hijrahkan Laguku, pihak produksi lain yang pernah mengajukan undangan program hiburan memahami keputusannya.

“Sebenarnya ada lagi yang pelawa jadi hos untuk rancangan televisyen berunsur hiburan tetapi saya tolak secara elok. Bukan sombong, tetapi jiwa saya sudah tidak ke situ.

“Rata-rata sangat memahami malah ketika itu datang tawaran untuk mengendalikan rancangan realiti Hijrahkan Laguku. Jadi saya ambil peluang tersebut.

“Sebaik program itu tamat, saya dipilih pula untuk terbabit dalam program umrah bersama sebuah agensi yang bakal membawa beberapa rombongan bermula Mac ini.

“Alhamdulillah,  satu persatu rezeki hadir. Mungkin tidak semeriah dulu, namun saya bersyukur dapat menjalani kehidupan dengan tenang tanpa perlu terkejar-kejar,” luah bapa kepada empat cahaya mata itu lagi.

Perkahwinannya dengan Nor Azlina Ahmad Din dikurniakan Nur Khairina, 19, Muhammad Khalish Iman, 10, Khayla Nur Iman, 8, dan Qalisya, 4 tahun.

Dedah Faizal, perasaannya kini lebih lega apabila melihat anak-anak juga semakin dekat dengan ilmu akhirat sehingga mampu menghafal al-Quran.

“Dalam sibuk mengajar anak-anak ilmu dunia, saya tidak mahu melupakan bekalan akhirat apatah lagi dulu saya pernah lalai kerana lebih mengejar kepuasan kerjaya serta duniawi.

“Doakan saya terus istiqamah dan menjadi ketua keluarga yang baik selain tetap dikekalkan niat sentiasa dekat dengan Allah,” katanya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI