BERWAJAH ayu dan pandai bergaya, menjadikan pemilik nama Siti Aisyah Alisa Hassan Basri begitu popular dalam kalangan pengguna media sosial.
Manakan tidak, gadis berusia 22 tahun itu sering dilihat di kaca televisyen selepas diberi tanggungjawab untuk memegang watak pelakon pembantu dalam sebuah drama bersiri berjudul Selamat Datang Cinta.
Katanya, minat untuk berlakon sudah ada dalam dirinya sejak kecil lagi.
Enggan melepaskan peluang dan impian yang dimiliki itu, dia menggunakan seluruh jiwa untuk menjayakan watak yang diberikan kepadanya sehabis mampu.
Bukan sahaja boleh berlakon, penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran di Universiti Teknologi Mara, Seremban, Negeri Sembilan itu juga mempunyai bakat dan kebolehan tersendiri dalam bidang pengacaraan majlis.
“Selain berlakon, saya juga boleh jadi pengacara. Bidang pengacaraan ini saya terokai sejak di bangku sekolah lagi.
“Disebabkan itu jugalah, pada waktu itu saya dilantik sebagai Exco Penerangan (pengawas) dan sentiasa diberi tugasan untuk mengacara beberapa majlis yang diadakan di sekolah.
“Tanpa disangka, saya masih lagi diberi kepercayaan untuk mengacarakan pelbagai majlis sebaik memasuki menara gading,” kongsinya.
Menjadikan Mira Filzah dan Neelofa sebagai idola dalam bidang pengacaraan, Siti Aisyah Alisa mengakui, ia sering merujuk dua figura itu dalam hal-hal berkaitan bidang tersebut.
Tambahan pula, anak bongsu daripada 12 orang adik-beradik ini begitu meminati dan mengagumi sifat profesionalisme dan kelembutan dalam berbicara yang ada dalam diri dua figura tersohor tanah air berkenaan.
“Selalunya apabila mengacara, saya akan menyediakan skrip sendiri agar segala-galanya berjalan seperti dirancang.
“Setakat ini, di peringkat sekolah, saya sudah mengacarakan lebih 10 majlis.
“Di peringkat universiti pula, ia melibatkan lebih lima majlis formal dan tidak formal.
“Antaranya mesyuarat agung tahunan kelab dan persatuan universiti, Majlis Apresiasi Pelajar dan banyak lagi,” ujarnya.
Nampak seperti mudah dan ringkas, namun katanya, dunia pengacaraan ada cabarannya yang tersendiri.
Jelas Siti Aisyah Alisa lagi, biasanya dia berhadapan dengan cabaran dari segi gangguan teknikal yang tidak dijangka.
Justeru, dia perlu pandai mengawal situasi dengan spontan supaya keadaan tidak menjadi kekok atau hambar.
Bukan itu sahaja, dia juga perlu sentiasa berjaga-jaga dengan pertukaran atau pembatalan program dan memastikan skrip ditulis selari dengan program yang berlangsung.
Bijak, berani dan petah berbicara, gadis cantik itu bercita-cita untuk menjadi seorang peguam suatu hari nanti.
Lantaran itu, dia memilih untuk melanjutkan pengajian dalam Diploma Pentadbiran Awam sebaik tamat Sijil Peperiksaan Malaysia suatu ketika dahulu.
Begitupun, rezeki tidak menyebelahi dirinya apabila dia tidak berjaya melanjutkan pengajian dalam jurusan undang-undang sebaik memasuki program Ijazah Sarjana Muda di universiti.
Mengulas mengenai isu semasa, Siti Aisyah Alisa berkata, dia begitu terkesan dengan isu vaksin penggalak yang diperkatakan masyarakat pada hari ini.
Ini katanya, lebih-lebih lagi apabila melihat majoriti rakyat yang dikatakan tidak mahu mengambilnya atas sebab-sebab tertentu.