TOLEDO, OHIO – Seorang wanita berdepan detik mendebarkan apabila bekas teman lelakinya berkelakuan agresif dengan mengintai tingkap biliknya pada waktu malam, lapor akhbar The Sun.
Rakaman video yang dikongsikan di TikTok memaparkan situasi ketika wanita bernama Madison itu menggigil ketakutan apabila kejadian tersebut berlaku pada bulan lepas.
Menurut kenyataan polis bandar Toledo, pihak mereka menerima panggilan berkenaan satu pergaduhan di sebuah premis di Ohio pada 23 Januari lalu.
Madison memberitahu polis bahawa bekas teman lelakinya berkelakukan agresif setelah dia memberitahu ingin memutuskan hubungan.
Wanita itu mengunci dirinya di dalam bilik air ketika lelaki itu didakwa mengetuk pintu itu dengan kuat. Polis berjaya menjauhkan lelaki itu yang disahkan sebagai pesalah seks berdaftar.
Bagaimanapun pada pukul 3 pagi, Madison merakam situasi ketika lelaki itu kembali ke rumah tersebut melalui tingkap bilik ketika dia memintanya pergi.
Di penghujung klip video tersebut, wanita itu berkata bekas teman lelakinya akan kembali ke rumah itu untuk mendapatkan barangnya walaupun diberitahu perlu diiringi pegawai polis.
Menerusi video yang lain, Madison mengaku terpaksa bertahan dengan perangai bekas teman lelakinya selama hampir dua tahun. – Agensi