Penang Black Panthers akhirnya mampu mempertaruhkan perejam importnya dari Thailand, Aekkasit Naphom pada minggu keenam aksi pusingan kedua Liga Sepak Takraw (STL) yang akan berlangsung di Kelantan minggu depan.
Kehadiran pemain berusia 28 tahun itu dikatakan bakal merawat luka pasukan kendalian Mohamad Fazil Mohd. Asri setelah berdepan dengan enam kekalahan sejak minggu keempat STL berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Pengurus pasukan, Mohamad Azlee Ahmad Mahiudin berkata, penantian hampir lima minggu skuad Harimau Kumbang berhubung status kehadiran pemain Liga Thailand itu akhirnya berakhir dengan berita gembira.
Menurutnya, sudah tiba masanya khidmat pemain berusia 28 tahun itu digandingkan bersama barisan ‘ubi muda’ pada perlawanan Jumaat depan.
“Berita baik buat semua peminat Penang Black Panthers yang selama ini tidak sabar menunggu dan bertanya mengenai status kehadiran Aekkasit dalam STL kali ini.
“Dia (Aekkasit) sudah tiba di Kuala Lumpur tiga hari lalu dan sedang menjalani kuarantin wajib di sebuah hotel. Tahap kesihatannya juga dilaporkan berada dalam keadaan baik.
“Kehadirannya akan menambahkan lagi semangat dan keyakinan barisan pemain sedia ada dalam mencari semula rentak kemenangan buat pasukan. Saya percaya, mereka dapat mencipta keserasian dengan baik dan lebih cemerlang nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau memberitahu, hanya Muhammad Zaim Mohd. Razali dan Muhammad Zarif Merican Ibrahim Merican berpengalaman beraksi dengan Aekkasit dalam STL sebelum ini.