NORWICH – Bintang Manchester City, Raheem Sterling berada dalam kelas tersendiri apabila meledak hatrik membantu pasukannya menewaskan Norwich City 4-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Carrow Road awal pagi semalam.
Pemain sayap lincah itu membuka akaun jaringan menerusi rembatan lencong menarik kaki kanan dan kemudiannya menanduk masuk hantaran daripada Ruben Dias sebelum melengkapkan hatriknya melalui tolakan mudah kaki kiri.
Ia sekali gus menyaksikan Sterling, 27, muncul pemain ketiga City yang berjaya meledak hatrik sempurna dalam saingan EPL selepas dilakukan Edin Dzeko dan Sergio Aguero.
Pengurus City, Pep Guardiola gembira dengan impak hebat ditunjukkan tonggak England itu yang kini sudah meledak lapan gol daripada lapan aksi terakhir EPL musim ini.
“Dia menjadikan perlawanan ini sangat menghiburkan terutama selepas menjaringkan gol pertama. Dia sangat berbahaya apabila beraksi pada tahap keyakinan yang tinggi.
“Benar dia pernah dikaitkan dengan perpindahan tetapi dia adalah watak penting buat pasukan ini. Anda boleh menilai sendiri menerusi statistiknya musim ini,” katanya.
Satu lagi gol dalam aksi itu dijaringkan oleh Phil Foden sekali gus membolehkan The Citizens selesa menerajui carta EPL dengan kelebihan 12 mata ke atas Liverpool di tempat kedua.
City selepas ini dijadualkan menentang jaguh Portugal, Sporting Lisbon dalam pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara awal pagi Rabu sebelum berentap dengan Tottenham Hotspur untuk aksi EPL seterusnya pada 20 Februari nanti. – AGENSI