fbpx

Nauraj muncul juara di Jerman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAURAJ menjuarai Kejohanan BKK Freudenberg Hochsprung Gala di Weinheim, Jerman dengan catatan 2.22m. - AFP

PETALING JAYA – Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa terus mengekalkan momentumnya apabila kali ini berjaya menjuarai Kejohanan BKK Freudenberg Hochsprung Gala di Weinheim, Jerman kelmarin.

Nauraj, 30, meraih pingat emas selepas berjaya melepasi had ketinggian 2.22 meter (m) untuk menutup penyertaannya dalam siri kejohanan olahraga dalam dewan di negara itu.

“Ia sesuatu yang membanggakan apabila lagu Negaraku dapat berkumandang di Jerman.

“Saya juga gembira dengan kemenangan ini menerusi catatan 2.22m dalam senarai peserta yang cukup saya hormati,” katanya yang dipetik daripada laman Instagram peribadinya.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 2.30m itu muncul juara selepas menewaskan atlet Jerman, Wagner Jonas yang meraih pingat perak dan pemenang tempat ketiga dari Ukraine, Kravchuk Vadim.

Ia adalah satu kejayaan membanggakan buat Nauraj yang bulan lalu berjaya memecahkan dua rekod dalam dewan kebangsaan dalam tempoh tiga hari.

Olimpian negara yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016 itu meraih tempat kedua dengan catatan baru rekod dalam dewan kebangsaan 2.22m pada Kejohanan Kladno Indoor di Republik Czech.

Tiga hari kemudian, Nauraj memperbaharui rekod tersebut dengan catatan 2.27m sewaktu memenangi pingat perak pada Kejohanan Hvezdy v Nehvizdech di Prague, Republik Czech. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI