AMPANG JAYA – Pergaduhan dipercayai punca seorang wanita warga Afrika maut akibat dibunuh dalam kejadian di Jalan Memanda 2, Ampang Point, dekat sini tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pusat kawalan polis Daerah Ampang Jaya menerima panggilan pada pukul 12.12 tengah hari daripada penolong pegawai perubatan Hospital Ampang memaklumkan berlaku kejadian ragut di lokasi.
“Sebaik pihak polis sampai di tempat kejadian didapati mangsa dalam keadaan terbaring dan mengiring serta tidak sedarkan diri.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan yang bertugas di lokasi,” ujarnya sebentar tadi.
Menurutnya, semakan mendapati mangsa merupakan warga asing dipercayai dari Afrika.
“Maklumat awal yang kita terima adalah berkaitan ragut, namun siasatan awal di tempat kejadian serta berdasarkan saksi awam mendakwa kejadian itu berpunca daripada pergaduhan mangsa dengan suspek.
“Namun begitu, kita masih melakukan siasatan sama ada mangsa terlibat dalam pergaduhan ataupun akibat diragut,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil memberikan kerjasama dengan menghubungi IPD Ampang Jaya di talian 03-42897222. – K! ONLINE