PUTRAJAYA – Ulat sagu atau ulat mulong haram dimakan kerana ia dianggap jijik sebagaimana pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafie.
Itu jelas Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi portalnya Maktabah Al-Bakri hari ini.
Menurutnya, hukum itu diputuskan berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan.
“Malah, pendapat ini juga adalah selari dengan keputusan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sarawak, bertarikh 20 November 2014.
“Dalam hal ini, hukumnya adalah haram disebabkan oleh kenajisan bangkainya dan juga kejijikannya.
“Ada pendapat lain kedua mengatakan halal secara mutlak, kerana ulat itu dianggap sebahagian daripada buah. Manakala pendapat lain turut mengatakan haram secara mutlak kerana ulat itu dikira sebagai bangkai,” katanya.
Ulat sagu adalah larva yang berasal daripada sejenis kumbang yang hidup di dalam batang sagu, pohon rumbia, pokok mulong atau pokok pantu yang reput. – K! ONLINE.