fbpx

Premis karaoke diserbu, pengunjung dikompaun RM95,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis membuat serbuan ke atas pusat karaoke mewah yang terletak di tingkat tiga, sebuah pusat beli-belah di Taman Miharja, Cheras di sini tengah malam tadi.

KUALA LUMPUR – Hanya pelanggan tetap dan mereka yang sudah membuat tempahan awal dibenarkan masuk ke premis untuk berhibur.

Itulah taktik yang digunakan pengurusan sebuah pusat hiburan karaoke mewah yang terletak di tingkat tiga, sebuah pusat beli-belah di Taman Miharja, Cheras bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar apabila premis berkenaan diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur sekitar pukul 12.30 tengah malam tadi.

Ketua JSJ Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam berhubung aktiviti di premis KTV itu yang dibuka sehingga awal pagi sekali gus melanggap prosedur operasi standard (SOP).

“Kita telah mengambil langkah mengepung semua laluan keluar termasuk laluan kecemasan menuju ke dalam pusat beli-belah bagi menghalang pengunjung melarikan diri.

“Kita berjaya menahan seramai 95 pelanggan tempatan termasuk 20 wanita yang sedang leka berhibur dalam sebahagian daripada 31 bilik di premis terbabit.

“Seorang penjaga atau pengurus premis hiburan itu serta tiga lelaki dan dua wanita warga asing turut ditahan untuk tindakan lanjut selain merampas resit perniagaan dan peralatan muzik,” ujarnya sebaik selesai serbuan itu.

Menurutnya, siasatan mendapati mana-mana pihak yang ingin memasuki premis berkenaan tidak mudah kerana pihak pengurusan hanya membenarkan pelanggan tetap dan mereka yang sudah membuat tempahan sahaja memasuki premis hiburan mewah itu.

“Selain itu, pelanggan juga harus meletakkan kenderaan di parkir basement (bawah tanah) pusat hiburan dan akan dibawa naik ke tingkat tiga menggunakan lif khas di tangga kecemasan oleh pekerja,” ujarnya.

Jelas beliau, kesemua pengunjung tempatan itu dikenakan kompaun berjumlah RM95,000 mengikut Peraturan 17, Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Manakala yang lain-lain pula dikenakan tindakan dibawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI