PETALING JAYA – Sekian lama memendam rasa dan bersabar, pelakon Puteri Sarah nekad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu.
Puteri Sarah bagaimanapun enggan mendedahkan indentiti individu dan punca tindakan serius tersebut terpaksa diambil.
Tegasnya, selepas sekian lama bersabar tindakan undang-undang ialah jalan terbaik yang diputuskan setakat ini, sekali gus menyerahkan perkara tersebut ke muka pengadilan untuk diselesaikan mahkamah.
“Saya minta maaf kerana buat masa ni memang tak boleh nak beritahu siapa. Saya tak boleh nak dedahkan siapa individu yang nak disaman nanti. Saya tak mahu nanti orang kata belum apa-apa dah sibuk buat kecoh.
“Apa yang saya tulis dalam Instagram itu adalah untuk bagi warning (amaran) awal kepada dia. Sekarang pun saya tengah siapkan paperwork (kertas kerja) dan dalam proses kumpulkan bukti-bukti sebagai dokumen yang diperlukan bersama peguam.
“Kalau betul-betul dah tiba harinya nanti dan dah sampai ke court (mahkamah), pasti saya akan beritahu media,” katanya.
Tambahnya, dia juga mempunyai bukti-bukti yang cukup kuat dan kukuh untuk membawa perkara serta isu tersebut ke muka pengadilan bagi diputuskan di sana nanti.
“Sebenarnya saya sudah lama bersabar dan bertahan tetapi sekarang ini saya sudah mempunyai bukti kukuh untuk membawa perkara yang berlaku ke mahkamah,” katanya lagi.
Menurut isteri kepada pelakon dan pengarah Shamsul Yusof itu lagi, biarpun sedar dan tahu kos guaman tidak murah selain mengambil masa panjang untuk diselesaikan, namun dia sanggup dan rela menunggu sehingga kes selesai.
“Saya akui nak failkan saman ini kos bukan murah tapi saya sudah lama bersabar dengan perkara ini. Saya mahu undang-undang membuktikan isu yang berlaku,” katanya lagi.
Terdahulu Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 36, mendedahkan perkara tersebut (saman) menerusi hantaran dalam Instagramnya.
“Akhirnya, nak sangat saman orang yang saya dah lama nak saman. Ya jumpa kau di mahkamah,” tulisnya.
Bagaimanapun, tinjauan Kosmo! Online mendapati ruangan komen pada hantaran tersebut ditutup oleh pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu.