KUALA LUMPUR – “Terima kasih setia bersama saya, dalam keadaan straight atau bengkok.”
Kedengaran lucu namun ungkapan spontan Zamani menjayakan Konsert Slam Mentari Muncul Lagi malam tadi cepat menusuk ke dada sekitar 1,5000 penonton yang memenuhi Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Pada usia 51 tahun dengan masalah kesihatan yang mungkin tidak sesegar era 1990-an, lelaki kurus melidi itu bertahan sepenuh rasa, menggagahkan tulang empat keratnya berdiri dan sesekali duduk penuh dengan satu tekad, iaitu menuntaskan janji menghiburkan peminat setianya.
Tanpa perlu berdiri tegak dengan hayunan langkah seorang ‘rockstar’, Zamani mudah mencairkan hati ramai. Dengan kata mudah, vokalnya yang terusik dek gelombang kehidupan pahit (umum pun tahu) tetap berbisa dan menggetarkan tulang rusuk setiap pencinta lagu-lagu berhantu Slam selama hampir tiga dekad ini.
Membuka tirai persembahan selama hampir dua jam dengan Biarkannya, disusuli Buat Seorang Kekasih, Manisnya Rindu dan Rindiani, Zamani mengakui ‘sukar’, maklum sahaja menyanyi lagu bernada mendayu-dayu ‘tarik anak tekak’ itu pada usia 51 tahun, tentu tidak sama ketika darah muda mengalir dalam tubuh.
“Semoga anda semua pulang dengan kenangan manis. Terima kasih kerana setia bersama saya dalam keadaan straight atau bengkok (merujuk kepada masalah kesihatannya sejak disahkan menghidap penyakit skoliosis yang mengakibatkan tulang belakangnya melengkung sejak 2019).
Nampak seperti orang sakit tetapi dengan semangat yang dijanakan bersama Shah selaku ketua kumpulan juga pemain gitar utama, Ajak (gitar kedua), Lili (bass), Man (dram) dan Eddie (keyboard), konsert yang dua kali tertangguh hampir dua tahun akibat pandemik tersebut bergema penuh lunak. Memang terasa getarannya!
Lagu-lagu wajib, Tak Mungkin Berpaling, Nur Kasih, Maria Mariana, Kembali Merindu, Suratan, Biarkan Ia Pergi dan Kembali Terjalin, semua itu cukup menggamit kenangan silam. Tidak cukup sekadar itu, Kurnia, Sinar Menunggu, Jika Kau Rasa Getar, Gerimis Mengundang dan Mentari Muncul Lagi menjadi pelengkap malam penuh bermakna tersebut.
Istimewa juga, kesudian Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman turun mencemar duli turut menyerikan suasana konsert.
Kemunculan sahabat dunia seni, Ratu Rock Ella pada segmen kemuncuk juga menceriakan suasana konsert yang dibawakan oleh Shiraz Projects Sdn. Bhd itu.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta rakan-rakan artis seperti Neves Pretty Ugly, Ajai dan Shuib. – K! ONLINE