TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menafikan berlaku pelanggaran pematuhan (SOP) di Zoo Taiping dan Safari Malam (Zoo Taiping) sebagaimana dakwaan seorang pengunjung yang disiarkan akhbar baru-baru ini.
Yang Di Pertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, pihaknya sentiasa mematuhi garis panduan serta had pengunjung iaitu hanya 50 peratus pada satu-satu masa.
Menurutnya, semua pematuhan tersebut adalah sepertimana ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Jumlah pengunjung sebenar zoo ialah 7,500 orang tetapi kita cuma hadkan sebahagian iaitu kira-kira 3,700 orang pada satu masa.
“Jualan tiket masuk pula dilakukan secara berperingkat iaitu sebanyak 1,250 untuk tempoh satu jam sebelum dihentikan dan disambung semula.
“Ini bagi memberi ruang pada pengunjung melawat zoo dengan selesa dan memudahkan pergerakan keluar masuk,” katanya dalam satu kenyataan di sini.- K! ONLINE.