KUALA LUMPUR – Seramai 154 individu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam serbuan sebuah pusat hiburan di Jalan Telawi 2, Bangsar Baru, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menjalankan serbuan tersebut pada pukul 10.52 malam.
“Hasil serbuan mendapati terdapat persembahan kugiran secara langsung dan beberapa pelanggan premis sedang berhibur sambil minum minuman keras.
“Susulan itu, kita memberkas seorang lelaki berusia 37 tahun yang merupakan pengurus premis dan lapan pekerja lelaki warga asing kerana menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Amihizam, polis turut mengeluarkan kompaun kepada semua pengunjung premis dan merampas barang kes termasuk resit perniagaan, minuman keras, mikrofon dan pelbagai peralatan muzik.
“Kesemua pengunjung termasuk pemilik premis telah dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap individu dan kompaun keseluruhan berjumlah RM155,000.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1952, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – K! ONLINE.