PETALING JAYA – Sering menjadi mangsa kecaman gara-gara gambar dan videonya bersenam dengan berpakaian mencolok mata, aktres Sharifah Sakinah mengambil keputusan untuk menyekat golongan lelaki busybody daripada mengikuti akaun Instagramnya.
Meskipun tidak menyatakan secara terperinci, pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu seolah-olah memberi bayangan dia mahu mengelakkan dirinya daripada terus dihakimi tentang pakaiannya.
“Saya akan menapis mana-mana individu yang hendak mengikuti akaun Instagram. Jika berjantina lelaki, saya tak terima.
“Kerja saya menjual badan, hendak menunjuk satu per satu otot. Memang kena tunjuk aurat,” kata pemilik nama penuh Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired itu menerusi hantaran Instagramnya semalam.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu turut mengingatkan kepada pengikutnya agar tidak mudah menjatuhkan hukum berdasarkan paparan bahan yang dikongsi.
“Kalau hendak mengikut akaun saya juga, jangan mudah menghakimi. Jika nak ilmu (kecergasan dan gaya hidup sihat) sila ikuti (di akaun Instagram),” ujar Sakinah.
Sebelum ini, Sakinah selalu menjadi mangsa kecaman kerana sering memakai pakaian mencolok mata ketika bersenam sekali gus mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pengikutnya.
Sakinah juga juga pernah dikritik selepas memuat naik gambar dia berendam dalam tab mandi dengan menampakkan sebahagian tubuhnya.
Minggu lalu, pelakon yang pernah popular menerusi drama Girlfriend Aku Dari Neraka itu membuat pengakuan secara terbuka telah bernikah dengan lelaki Sweden, Michael Hansen, namun tidak mendedahkah tarikh perkahwinan mereka.
Sakinah pernah mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Aliff Adha sebelum berpisah pada Mei 2020. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Anais Adha kini berusia lima tahun.-K! ONLINE