fbpx

Rakyat lega tiada pelaksanaan PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peniaga merupakan antara golongan yang terjejas semasa pelaksanaan PKP sepanjang musim pandemik Covid-19. – Gambar hiasan.-SYAWAL ROSLI

PETALING JAYA – Pendirian kerajaan untuk tidak kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi sinar buat orang ramai terutama peniaga yang sebelum ini terjejas akibat pandemik Covid-19.

Rata-rata mereka meluahkan rasa lega dengan jaminan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin meskipun kes jangkitan menunjukkan peningkatan sejak minggu lalu.

Sebelum ini, ramai yang menjangkakan PKP akan kembali dilaksanakan termasuk beraya di perantauan selepas kes harian mencecah lima angka.

Peniaga kedai makan, Sarimah Che Ram, 45, berkata, dia sudah lama menunggu berita itu kerana perniagaan merupakan adalah satu-satunya sumber pendapatan untuk menyara keluarga.

“Sepanjang PKP pada 2020 dan 2021, pendapatan saya terjejas teruk dan terpaksa berhutang dengan adik-beradik.

“Alhamdulillah selepas PKP ditamatkan, orang ramai dibenarkan makan di kedai, pendapatan saya semakin baik,” katanya.

Sarimah memberitahu, sebagai langkah berjaga-jaga, dia sentiasa memastikan pelanggannya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana bimbang dengan peningkatan kes harian yang sudah melepasi 20,000.

Nada sama diluahkan peniaga kedai bunga dan aksesori perkahwinan, Nuratika Adnan, 28, yang bersyukur kerana perniagaannya sudah kembali ‘bernafas’ dan mendapat sambutan.

“Sudah dua tahun perniagaan merudum, tiada permintaan daripada bakal pengantin. Saya harap bisnes ini akan te­rus bertahan memandangkan PKP tidak lagi dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, bagi kakita­ngan barisan hadapan, Mohd. Fadli Abdul Jalil, 28, pendirian kerajaan itu memberi semangat kepadanya untuk menyambut Aidilfitri bersama ke­luarga pada tahun ini.

“Sebelum ini, saya bertugas menjaga sekatan jalan raya, jadi apabila tiada PKP, maka boleh beraya bersama keluarga,” ujarnya.

Nurul Hidayah Ahmad Kamal, 32, pula memberitahu, dia sudah mula membuat persiapan untuk perayaan Aidilfitri dengan membeli kain bagi menempah baju raya buat dirinya dan keluarga.

“Sudah dua tahun saya beraya di dalam rumah. Saya harap kerajaan dapat mengotakan janji kerana sudah ramai yang menantikan pengumuman seperti ini,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri mengulangi pendirian kerajaan untuk tidak akan melaksanakan PKP mahupun darurat walaupun kes Covid-19 kembali meningkat ketika ini.

Beliau berkata, rakyat kini perlu hidup dengan Covid-19 dan menganggapnya sebagai endemik sebagaimana penyakit mudah berjangkit yang lain.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI