MACHANG – Ibu enam anak dari dari Kampung Raja di sini, tidak dapat berpantang dengan sempurna selepas anak bongsunya menghidap Hydrocephalus iaitu lebihan cecair di dalam otak.
Kelahiran Muhammad Adam Hariz Mohd. Akman Haris yang kini berusia tiga bulan menjadikan Nurmalina Ismail, 32, perlu mencari pendapatan sampingan dengan membuat rempeyek untuk mengumpul wang bagi kos pembedahan anaknya itu.
Menurut Nurmalina, pendapatan tidak seberapa suaminya, Mohd. Akman Haris Mohd. Ali, 36, sebagai juruteknik menyebabkan dia nekad untuk membantu meskipun masih berpantang.
“Anak saya (Muhammad Adam) disahkan menghidap penyakit ini selepas dilahirkan pada November lalu. Kepalanya menjadi besar dan doktor menyarankan supaya memasang tiub bagi mengelak bahagian itu terus membesar.
“Kos pembedahan kali ini dianggarkan RM5,000 dan akan dijalankan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Nurmalina memberitahu, anaknya menjalani pembedahan memasang tiub di kepala di HUSM pada Disember lalu, namun alat itu tidak sesuai dengan Muhammad Adam menyebabkan dia kerap muntah dan sawan.
“Keadaan kesihatan Muhammad Adam memerlukan dia kerap membuang air setiap hari. Lampin pakai buang yang dipakainya perlu ditukar 14 kali sehari dan memerlukan 80 keping lampin untuk seminggu.
“Memikirkan kos pembedahan dan keperluan hariannya, saya menggagahkan diri membuat rempeyek untuk meringankan beban suami,” katanya.
Nurmalina bersyukur apabila jualan makanan itu mendapat sambutan menggalakkan.
Wanita itu bagaimanapun terpaksa mengehadkan pembuatan dan jualan kepada 30 bekas sehari kerana perlu memberi perhatian kepada Muhammad Adam dan lima anaknya yang lain.
“Mujur ada ibu saya yang tinggal tidak jauh dari rumah membantu untuk menjaga Muhammad Adam semasa saya membuat rempeyek,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0301341000036389 atas nama Nurmalina Ismail atau menghubunginya di talian 013-918 6902.