BEIJING – Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC) mempersoalkan keputusan ujian doping terhadap atlet luncur ais mereka, Kamilia Valieva yang dikesan positif mengambil bahan terlarang ketika bersaing di temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing pada Selasa lalu.
Agensi Ujian Antarabangsa (ITA) mengesahkan perkara tersebut selepas atlet berusia 15 tahun itu positif mengambil trimetazidine iaitu bahan yang berada dalam senarai terlarang Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) kerana mampu meningkatkan aliran darah ke jantung.
Presiden ROC, Stanislav Pozdnyakov menegaskan, keputusan yang dikeluarkan ITA agak lewat memandangkan ujian sampel telah diambil pada 25 Disember lalu di Kejohanan Kebangsaan Rusia.
Tegasnya, ITA mengambil masa lebih daripada enam minggu untuk mengumumkan perkara tersebut terutama ketika atletnya telahpun menjuarai saingan tersebut.
ROC menjelaskan pasukan luncur ais mereka telah memenangi acara tersebut secara adil dan berikrar untuk melindungi kepentingan pasukan.
“Secara fakta, sampel ujian tersebut diambil bukan semasa temasya berlangsung. Jadi, keputusan acara berpasukan semasa Sukan Olimpik tidak tertakluk kepada semakan automatik.
“ROC sedang mengambil langkah komprehensif untuk melindungi hak dan kepentingan ahli pasukan ROC sekali gus mahu mempertahankan pingat emas dimenangi dalam persaingan yang adil,” kata ROC.
Pada saingan tersebut, Valieva muncul selaku peluncur ais wanita pertama berhasil melakukan lompatan quadruple dalam temasya itu.
Kini, Valieva sedang menunggu kebenaran untuk beraksi dalam acara individu pada 15 Februari ini yang dijangka mampu merangkul pingat emas kepada Rusia. – AGENSI