KLANG – Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas terjun ke Sungai Klang di Jambatan Diauddin Jalan Tengku Kelana, hari ini.
Ini merupakan kejadian kedua berlaku sepanjang minggu ini dengan sebelum ini di Jambatan Raja Muda, Selasa lalu.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, 16 anggota termasuk pegawai dari tiga buah balai dikejarkan bagi operasi mencari dan menyelamat sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 10.15 pagi.
Katanya, ini melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Shah Alam dan Pelabuhan Klang serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) selain dibantu Angkatan Pertahanan Malaysia.
“Berdasarkan maklumat, lelaki itu telah terjun ke dalam sungai klang dari atas jambatan Diauddin.
“Operasi pencarian masih diteruskan sehingga jarak tiga kilometer dari lokasi kejadian,” jelasnya dalam kenyataan hari ini. -K!ONLINE