PYONGYANG – Tukang-tukang kebun Korea Utara dihantar ke kem buruh selepas gagal memastikan beribu-ribu bunga ‘Kimjongilia’ begonia merah mekar ketika sambutan hari lahir Kim Jong-il, lapor akhbar Daily Mail, semalam.
Ia dinamakan sempena nama bekas pemimpin tertinggi Korea Utara yang telah meninggal dunia, Kim Jong-il.
Jalan di bandar-bandar negara itu secara tradisi akan dipenuhi dengan bunga menjelang sambutan hari lahir mendiang Kim Jong-il pada 16 Februari. Acara itu dikenali sebagai ‘Hari Bintang Bersinar’.
Bagaimanapun pada tahun ini, tukang-tukang kebun bergelut untuk mendapatkan bekalan kayu api bagi memastikan suhu dan kelembapan yang stabil di rumah-rumah hijau, tempat bunga Kimjongilia ditanam, lapor agensi berita Daily NK News.
Mereka dituduh mengabaikan tanaman dengan beberapa tukang kebun dijatuhi hukuman enam bulan di kem buruh kerana gagal menyediakan bunga mekar tepat pada masanya. Mendiang Kim Jong-il telah meninggal dunia ketika berusia 69 tahun pada 2011.
Pengurus sebuah ladang yang menanam Kimjongilia di daerah Samsu, wilayah utara Ryanggang turut terlibat dan dituduh kerana tidak menjaga tanaman dengan baik, kata sumber kepada agensi berita yang berpangkalan di Seoul itu.
Lelaki berusia dalam lingkungan 50-an dan hanya dikenali dengan nama keluarga Han itu dipecat daripada jawatannya di ladang setelah memberitahu pegawai-pegawai bahawa dia sukar untuk membuat bunga itu mekar untuk sambutan tersebut..
Seorang pekerja berusia 40-an yang dikenali dengan nama keluarha Choi turut dijatuhi hukuman kerana tidak menetapkan suhu rumah hijau dengan betul.
Penanam bunga bernama Kim, 40, turut dipanggil setiap hari untuk melaporkan keadaan bunga-bunga itu serta menulis laporan, tambah sumber tersebut. – Agensi