fbpx

Elak kena Covid-19, Zamani suka duduk di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAMANI

PETALING JAYA – Jika tiada tugasan atau keperluan, penyanyi popular Zamani mengakui lebih selesa melakukan kerja atau aktiviti di rumah bagi mengelakkan risiko terdedah jangkitan Covid-19.

Kata vokalis Slam itu, dia bukan paranoid, sebaliknya sudah biasa dengan amalan ‘duduk di rumah’  sekali gus menjadi tindakan terbaik ketika ini.

“Sebelum fasa pengenalan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sejak dua tahun lalu pun saya lebih banyak melakukan kerja dari rumah jika tiada keperluan untuk berbuat sedemikian.

“Jadi bukan satu masalah bagi saya ketika beberapa kali fasa pemulihan dilaksanakan dalam mengekang penularan Covid-19. Cuma masalahnya ketika itu adalah berkaitan kerja dan projek yang tertunda.

“Apa pun sekarang keadaan hampir pulih tetapi kes serangan virus ini masih perlu diberi perhatian membuatkan saya terus mengutamakan langkah berjaga-jaga.

“Bukan takut atau paranoid kerana kita semua memang perlu biasakan diri dalam situasi sekarang, cuma disebabkan saya bakal jayakan dua konsert, jadi kenalah lebih berhati-hati,” katanya ketika ditemui
pada sidang media Konsert A Night To Remember.

Bakal berkongsi pentas sekali lagi dengan Datuk Jamal Abdillah pada 26 Mac depan, katanya selain pemilihan repertoire lagu, penjagaan kesihatan serta persediaan fizikal dan mental juga elemen utama menjelang konsert.

Malah pada malam ini, Zamani bersama rakan seperjuangannya dalam kumpulan Slam akan merealisasikan Konsert Slam Mentari Muncul Lagi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Berkongsi mengenai acara A Night To Remember, Zamani mengakui teruja kerana sudah hampir dua tahun tidak mengadakan persembahan secara terbuka.

Mengakui bimbang melihat peningkatan angka jangkitan masa kini, vokalis berusia 50 tahun itu yakin orang ramai terutama penonton persembahan mega itu nanti sudah maklum dengan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Saya berharap segala perancangan akan berjalan dengan lancar dan angka jangkitan Covid-19 yang meningkat tidak akan menjejaskan persembahan kami,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kehidupan peribadi, pemilik nama sebenar Zamani Ibrahim yang memilih pembantu peribadinya, Nur Juliana Abdul Rani, 38, sebagai pasangan hidupnya memaklumkan mereka masih dalam fasa bulan madu.

Tempoh 14 tahun saling mengenali sebelum kemudian mendirikan rumah tangga pada September 2019 membuatkan kehidupannya semakin bermakna.

Walaupun belum dikurniakan rezeki cahaya mata, Zamani mengakui tidak pernah berhenti berdoa selain enggan menjadikan soal anak sebagai tekanan.

“Kamu masih mencuba tetapi tetap menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Buat masa ini masih belum ada rezeki, jadi tidak perlu stres.

“Saya berkahwin pada usia yang agak lambat, doakan kami dikurniakan ‘baby junior’ suatu hari nanti,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI