fbpx

‘Tolong vaksin anak-anak, kesan Covid-19 sangat teruk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Iryaz ketika menerima rawatan di ICU Hospital Sungai Buloh Januari lalu akibat dijangkiti Covid-19 Tahap 5.

PETALING JAYA- “Tolong vaksin anak-anak sekiranya boleh, sebab kesan komplikasi Covid-19 sangat teruk, tak sanggup tengok bayi saya kena kategori lima,”.

Demikian luahan Farah Adelina, 28, yang merupakan ibu kepada Iryaz Nazhan, 8 bulan, yang dijangkiti Covid-19 Tahap 5 serta perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh selama lapan hari.

Menceritakan pengalamannya, Farah berkata, anak lelakinya itu menunjukkan simptom demam panas pada 3 Januari lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh keesokkan hari selepas disahkan positif Covid-19.

“Kami tidak tahu dia kena di mana memandangkan tidak pernah dibawa keluar daripada rumah sejak dilahirkan, malah ujian calitan dijalankan kepada orang sekeliling juga menunjukkan keputusan negatif.

“Pemeriksaan doktor di bahagian paru-paru bayi saya mendapati virus Covid-19 itu berada di bahagian tonsil dan dia perlu bernafas dengan bantuan oksigen untuk beberapa hari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! tadi.

Kata Farah Adelina, kesan sampingan akibat wabak itu yang dirasai bayinya juga disifatkan agak teruk memandangkan anaknya hanya menerima vaksin imunisasi pada usia dua, empat dan enam bulan sahaja.

“Jadi bila usianya lapan bulan, ada jarak masa perlu diikuti sebelum boleh disuntik semula pada usia sembilan bulan, mungkin ketika itu daya tahan badannya tidak begitu kuat.

“Kalau ada vaksin atau suntikan imunisasi, kesan melawan wabak lebih cepat kerana bayi mempunyai sistem lebih kuat untuk sembuh daripada penyakit termasuklah Covid-19,” katanya.

Susulan itu, Farah Adelina menasihati ibu bapa yang mempunyai anak-anak layak menerima vaksin Covid-19 untuk segera bertindak bagi mengelakkan perkara tidak diingini seperti dijangkiti wabak.

“Jangan bimbang, di pusat pemberian vaksin kita ada ramai doktor yang bertugas, mereka akan menasihati terlebih dahulu sama ada boleh disuntik atau sebaliknya.

“Saya sudah lalui sendiri, ambil vaksin kesannya mungkin demam sehari dua, tetapi kalau tiada vaksin, kesan komplikasi Covid-19 lebih teruk dan menyiksakan,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI