PUTRAJAYA – Kabinet secara rasmi sudah menetapkan supaya memorandum persefahaman (MOU) berhubung Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) ditandatangani secepat mungkin.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, beliau akan berbuat demikian dengan menteri bertanggungjawab terhadap isu buruh di republik itu dalam masa terdekat.
“Mesyuarat jemaah menteri telah memutuskan agar MOU PDI ini segera dimeterai oleh saya dan rakan sejawat, Menteri Ketenagakerjaan, Ida Fauziyah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau dipercayai merujuk kepada luahan kekesalan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono baru-baru ini yang tidak berpuas hati dengan kelewatan dokumen tersebut dimuktamadkan.
Malahan, pemerintah negara jiran tersebut sudah hilang kepercayaan terhadap komitmen MOU itu kerana pihak Jabatan Imigresen Malaysia cuma terlibat dalam beberapa siri rundingan.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menegaskan memang ada perbincangan dengan menteri negara tersebut selama ini. – K! ONLINE.