fbpx

Persatuan penternak jamin bekalan stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEKALAN ayam dijangka kembali stabil di pasaran dalam masa terdekat selepas kerajaan memberikan subsidi kepada penternak selama empat bulan sehingga Jun ini.

PETALING JAYA – Selepas dihimpit dengan kenaikan kos operasi termasuk harga dedak yang melambung tinggi, persa­tuan penternak memberi jaminan bekalan ayam akan stabil dalam masa terdekat setelah kerajaan bersetuju memberi subsidi kelmarin.

Presiden Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia, Tan Chee Hee berkata, pemberian subsidi ayam dan telur berjumlah RM528.52 juta itu mengembalikan ‘sinar’ buat penternak yang rata-ratanya terbeban dengan kenaikan pelbagai kos.

“Kami (penternak) berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi subsidi. Dengan ada­nya bantuan ini, saya percaya ramai penternak akan dapat mengimbangi semula pengeluaran ayam di ladang masing-masing.

“Sebelum ini, ramai yang terpaksa mengehadkan pengeluaran kerana kenaikan pelbagai kos, jadi kami yakin selepas ini mereka boleh meningkatkan semula kapasiti ayam di ladang,” katanya ketika dihubungi ­Kos­mo! di sini semalam.

Mengulas lanjut, Chee Hee memberitahu, secara teorinya, sekiranya pengeluaran ayam di ladang meningkat, maka kerajaan tidak perlu lagi mengimport ayam dari luar negara.

“Kami akan cuba sebaik mungkin untuk memenuhi permintaan pasaran ketika ini kerana kami juga mahu berniaga.

“Kerajaan tidak perlu lagi mengimport ayam kerana kami mempunyai fasiliti (ladang), cuma apa yang diperlukan adalah menambah bilangan anak ayam ke ladang,” ujarnya.

Ditanya sama ada harga ternakan itu akan turun, Chee Hee memberitahu, pada masa sekarang, pihaknya tidak dapat memberi jaminan kerana ia bergantung kepada pengeluaran dan permintaan.

“Selepas pengeluaran kembali stabil, stok ayam banyak di pasaran secara automatik harga akan turun. Buat masa ini, kita ikut harga yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Mengenai sama ada bekalan ayam akan pulih sebelum Ramadan, Chee Hee bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

Kosmo! semalam melapor­kan kerajaan bersetuju memberi subsidi ayam dan telur kepada penternak bermula 5 Februari hingga 4 Jun depan sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Subsidi 60 sen per/kilogram (kg) akan diberikan kepada penternak ayam, manakala 5 sen sebiji bagi telur ayam untuk semua kategori. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI