MANCHESTER – Kemenangan besar 9-0 di Old Trafford awal tahun lalu bukan lagi menjadi ukuran sebenar atau pun jaminan buat Manchester United untuk meraih kemenangan ke atas Southampton, malam ini.
Perhitungan kali ke-131 buat kedua-dua pasukan ini bakal menjadi perlawanan berbeza ketika Southampton kini juga berada pada prestasi terbaik selepas mempamer kebangkitan untuk menewaskan Tottenham Hotspur kelmarin.
Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl menjelaskan, keputusan perlawanan itu membuktikan biarpun pasukannya ketiadaan pemain berstatus bintang, namun mereka tetap memiliki kualiti untuk bersaing dengan kelab besar di Liga Perdana Inggeris.
Pengendali dari Austria itu juga tidak menolak kemungkinan akan menggunakan helah sama ketika menewaskan Spurs ke dalam pertemuan dengan United.
“United memiliki tempoh pemulihan lebih sehari berbanding kami dan sudah pasti perlawanan ini bakal menjanjikan aksi getir.
“Aksi ini akan menunjukkan sejauh mana peningkatan yang kami sudah lakukan. Sebelum ini kami mampu menjaringkan satu gol dalam 23 hantaran dan sudah pasti ia menjadi sesuatu yang baik.
“Ia kelihatan cukup bagus dan ia benar-benar menyeronokkan,” kata Hasenhuttl ketika menjawab kemampuan pasukannya untuk menentang pasukan besar di Liga Perdana Inggeris.
Kali terakhir Southampton menang di Old Trafford adalah enam tahun lalu dan Hasenhuttl juga sedar mengenai kekalahan besar The Saints di venue berkenaan.
“Kami tewas 0-9 musim lalu dan saya tidak akan pernah melupakannya,” jelas Hasenhuttl.
– AGENSI