fbpx

‘Rugi RM100,000, padi tidak berisi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN petani di Kampung Baharu, Panchor di Alor Setar menunjukkan pokok padi mereka yang tidak berisi sehingga menyebabkan kerugian lebih RM100,000.

ALOR SETAR – Seramai 50 petani di Kampung Baharu, Panchor di Pokok Sena, dekat sini kerugian lebih RM100,000 selepas hasil tanaman padi mereka berbuah tetapi tidak berisi pada musim ini.

Petani mendakwa kira-kira 25 hektar padi di kawasan itu tidak berisi dan menyebabkan mereka terkejut walaupun pokok padi mereka dijaga dengan baik.

Menurut Harun Abd. Rahman, 70, pada awal penanaman, ramai petani di situ berasa gembira kerana pokok padi tumbuh de­ngan baik walaupun menghadapi kemarau.

“Bagaimanapun, selepas po­kok padi ini dijaga dengan baik seperti diberi baja, vitamin ser­ta racun yang cukup tiba-tiba sampai musim menuai buah-buah padi tiada berisi.

“Ramai petani di sini terkejut apabila kejadian seperti itu terjadi dan ini menyebabkan mereka kecewa,” ujarnya yang mengusaha sehektar sawah.

Sejak menjadi pesawah 50 tahun lalu, Harun berkata, ini me­rupakan kali pertama dia dilanda ‘bencana’ itu.

“Sebelum ini jika hasil padi kami diserang penyakit masih ada lagi hasil yang diperolehi tetapi pada kali ini hanya mampu melihat pokok padi sahaja.

“Saya harap pihak bertanggungjawab dapatlah tu­run me­ninjau masalah yang kami hadapi supaya masalah seperti ini tidak berulang lagi,” katanya yang kerugian RM5,000.

Seorang petani, Mohd. Shafie Salleh, 65, pula berkata, masalah padi tidak berisi itu menyebabkan mereka menanggung kerugian kerana tidak dapat membayar hutang bagi kerja-kerja sawah.

Katanya, ramai petani sebelum ini terpaksa berhutang bagi kerja membajak, meracun serta membeli benih padi tetapi de­ngan masalah ini mereka tidak mampu membayarnya.

“Saya terpaksa membiarkan sahaja sawah seluas 2.5 hektar begitu sahaja dengan tidak membenarkan mesin padi mengambilnya. Jika pihak pengendali mesin padi masuk mengambilnya sudah pasti hasilnya kosong dan saya terpaksa membayar upahnya pula. Kejadian ini mengakibatkan saya kerugian RM10,000,” katanya.

Ujar Shafie, mereka yakin perkara itu bukan di­sebabkan penyakit bena perang seperti berlaku di tempat lain, lagi pun tiada sebarang ulat yang kelihatan di pokok-pokok padi.

Sementara itu,Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Fuad Yaacob berkata, pihaknya sangat simpati dengan musibah yang ditanggung oleh petani di kawasan Kampung Baharu, Panchor.

“Saya harap supaya Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena serta Jabatan Pertanian turun meninjau serta mengkaji jenis penyakit ini,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI