LOS ANGELES – Jaguh pecut sensasi Amerika Syarikat (AS), Justin Gatlin mengumumkan persaraannya daripada sukan olahraga selepas cemerlang meraih pingat emas Sukan Olimpik dan pelbagai gelaran dunia.
Atlet veteran berusia 40 tahun itu yang memenangi emas acara 100 meter di Olimpik Athens 2004 mengesahkan persaraannya menerusi Instagram bertajuk Dear Track.
Gatlin antara pelari pecut dunia yang berjaya mengatasi legenda Jamaica, Usain Bolt.
Namun, kehadirannya dalam sukan olaharaga turut terpalit skandal doping yang menyebabkannya digantung.
“Saya mencintai anda, trek. Anda menyaksikan jatuh bangun saya dalam sukan ini dan ia merupakan pengajaran yang tidak boleh saya lupakan.
“Cinta saya pada sukan ini tidak pudar,” katanya.
Persaraan Gatlin sudah dijangka selepas dia gagal layak ke temasya Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu selain berdepan kecederaan hamstring ketika sesi ujian di Eugene, AS.
Dia melengkapkan kemenangan 100m dan 200m di Kejohanan Dunia 2005 dan turut meraih emas 100m di Kejohanan Dunia di London 2017 dengan mengatasi ikon Jamaica, Usain Bolt. – AGENSI