PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memberi bayangan dia bersedia untuk mengikut jejak langkah Cheam June Wei dengan menyertai pemain No.1 dunia dari Denmark, Viktor Axelsen berlatih di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Dia yang membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bergerak secara profesional bulan lalu masih lagi menjalani latihan di Malaysia ketika ini.
Bagaimanapun, pemain No.7 dunia itu tidak menolak kemungkinan untuk berlepas ke Dubai dan menjalani latihan bersama Axelsen sebaik sahaja dia menyelesaikan segala urusan berhubung karier profesionalnya.
“Setakat ini, latihan saya tidak stabil sangat kerana masih belum ada jurulatih selain program latihan yang dirangka sendiri. Tempat latihan juga tidak tetap kerana sering bertukar-tukar.
“Berhubung latihan di Dubai bersama Axelsen, mungkin akan pergi ke sana juga pada masa depan tetapi buat masa sekarang, fokus saya adalah untuk selesaikan urusan penting dahulu termasuk pasukan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara semalam.
Sebelum ini, June Wei yang juga pemain profesional negara menyifatkan kem latihan di Dubai itu sangat sistematik selain memiliki fasiliti latihan terbaik di dunia.
Justeru, tidak hairan mengapa Zii Jia tertarik untuk berlatih bersama Axelsen yang turut disertai oleh juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew serta pemain XBelanda, Mark Caljouw.
Sementara itu, Zii Jia mengakui, kehidupan sebagai pemain profesional sangat mencabar kerana perlu menguruskan sendiri karier, jauh berbeza jika dibandingkan ketika bersama BAM.
Pada masa sama, dia juga masih dalam perbincangan dengan beberapa pihak berhubung penajaan selain sedang membuat penilaian untuk melantik barisan kejurulatihannya sendiri.