fbpx

Biden gesa rakyat AS segera tinggalkan Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIDEN mengarahkan rakyat AS meninggalkan Ukrain kerana situasi diluar kawalan akan berlaku dengan lebih cepat di Eropah Timur. - AFP

WASHINGTON – Presiden Joe Biden kelmarin menggesa warga Amerika Syarikat (AS) di Ukraine supaya segera meninggalkan negara itu dan memberi amaran bahawa situasi di luar kawalan akan berlaku dengan lebih cepat di Eropah Timur, lapor stesen penyiaran CNN semalam. 

“Warganegara AS harus keluar sekarang,’’ kata Biden dalam wawancara yang dirakam kelmarin bersama penyampai saluran berita NBC News, Lester Holt.

“Kita bukannya berurusan dengan organisasi pengganas. Kita berurusan dengan salah satu tentera bersenjata terbesar di dunia. Ia adalah situasi yang sangat berbeza dan boleh berubah di luar kawalan dengan cepat,’’ jelas Biden yang merujuk kepada Rusia.

Biden berkata, sekiranya situasi mendesak berlaku, Washington akan menghantar tentera untuk menyelamatkan rakyat AS yang cuba keluar dari Ukraine.

“Perang dunia akan berlaku sekiranya AS dan Rusia mula menembak antara satu sama lain. 

“Jika Presiden Rusia, Vladimir Putin cukup dungu untuk masuk ke negara itu, dia juga perlu cukup bijak untuk tidak melakukan apa-apa yang memberi kesan negatif kepada warga AS,’’ tambah Biden. 

White House telah meluluskan rancangan supaya 2,000 askar AS di Poland untuk membantu rakyat negara itu yang cuba meninggalkan Ukraine jika Rusia menyerang, demikian menurut dua pegawai Pentagon.

Tentera AS tidak dibenarkan memasuki Ukraine sekiranya perang meletus dan tiada rancangan untuk mereka menjalankan operasi pemindahan tanpa gempur seperti operasi di Afghanistan pada musim panas lalu.

Sebaliknya, rancangan yang wujud ketika ini adalah tentera daripada Divisyen Payung Terjun Ke-82 akan mula menyediakan kawasan perlindungan di Poland berhampiran sempadan Ukraine untuk rakyat AS mendapatkan bantuan ketika melarikan diri.

Kemudahan itu masih belum disediakan tetapi akan mula beroperasi apabila lebih ramai tentera AS tiba di Poland, kata seorang pegawai pertahanan.

Pada akhir Januari lalu, Jabatan Negara membenarkan pelepasan kakitangan bukan kecemasan dari Kedutaan AS di Kiev dan mengarahkan ahli keluarga mereka meninggalkan negara itu.

AS telah menganggarkan bahawa Rusia mempunyai lebih daripada 100,000 anggota tentera berhampiran sempadan Ukraine dengan beribu-ribu lagi askar tambahan dikerah  pada minggu ini, demikian menurut seorang pegawai pentadbiran Biden. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI