LANGKAWI – Seorang lelaki dari Kampung Belak, Kedawang di sini terpaksa melalui kehidupan perit untuk menjaga isteri dan dua anaknya selepas kehilangan kaki kanan akibat terjatuh dari pokok kelapa dalam kejadian dua tahun lalu.
Ismaaliff Idris, 35, berkata, dia mengalami kecederaan patah tulang punggung dan kaki akibat terjatuh dari pokok kelapa setinggi kira-kira 10 meter.
“Selepas kejadian itu, saya tidak lagi mampu untuk berjalan jauh dan mula mengalami kesakitan teruk pada kaki kanan setahun kemudian.
“Saya terpaksa menerima perkhabaran buruk apabila doktor memaklumkan terdapat darah beku yang tersumbat pada salur darah utama menyebabkan kaki saya tidak berfungsi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, disebabkan masalah itu, kaki kanannya terpaksa dipotong dari paras paha.
“Sejak kaki dipotong, saya sukar untuk bergerak apatah lagi untuk mendapatkan pekerjaan menyebabkan keluarga banyak bergantung kepada isteri, Siti Fairuz Abu Seman, 36, yang membuat kuih dengan upah sebanyak RM40 sehari.
“Isteri juga pernah cuba mengambil anak asuhan untuk menambah pendapatan, tetapi terpaksa berhenti kerana tidak boleh melakukan kerja berat akibat mengalami masalah jantung,” ujarnya yang mempunyai dua anak berusia tiga dan lima tahun.
Ismaaliff berkata, dia telah cuba sedaya upaya mencari kerja, tetapi ditolak kerana keadaan fizikalnya yang serba kekurangan.
“Buat masa ini saya bantu keluarga dengan membaiki mesin basuh, cuma pendapatannya tidak banyak kerana tidak ramai pelanggan,” katanya.
Ujarnya, mereka merupakan penerima bantuan bulanan dari zakat sebanyak RM500 dan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Jumlah itu tidak mencukupi kerana sewa rumah sahaja sudah RM400 dan itu belum termasuk api dan air,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank CIMB 7614-0331-87 milik Ismaaliff. -K! ONLINE