SUNGAI BULOH – Seorang lelaki maut apabila tersepit dibahagian tayar belakang sebuah lori kontena dalam kemalangan di Jalan Sungai Buloh menghala Damansara Damai, di sini, pagi tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu sekitar pukul 8.16 pagi.
“Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kemalangan yang melibatkan sebuah lori kontena dengan sebuah motosikal jenis Honda EX5.
“Penunggang motosikal tersebut, Danial Imran Kamarolzaman, 31, didapati tersepit dibahagian tayar belakang kontena tersebut dan disahkan mati ditempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, anggota bertugas bertindak membawa keluar mangsa menggunakan peralatan ‘air lifting bag’ dan bantuan excavator.
“Kami mengambil masa beberapa minit bagi proses mengeluarkan mangsa sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – K! ONLINE