fbpx

2,200 pegawai KPDNHEP pantau harga ayam, telur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa KPDNHEP negeri Perak semasa melakukan pemeriksaan harga barang di sebuah premis di Manjung baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berterusan melakukan pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas penjualan ayam serta telur di seluruh negara bagi mengelakkan sebarang peningkatan harga oleh penjual.

Jurucakap kementerian tersebut memaklumkan, tiada sebarang mekanisme berbeza yang akan diambil oleh KPDNHEP dalam melakukan penguatkuasaan sebaliknya kekal dengan menguatkuasakan akta yang telah diwartakan sebelum ini.

“KPDNHEP mempunyai seramai 2,200 pegawai penguat kuasa di seluruh negara yang akan berterusan melakukan pemantauan ke atas penjualan barangan yang dikenakan kawalan harga bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan.

“Pihak KPDNHEP juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat peniaga yang berdegil untuk menaikkan harga kerana harga berkenaan dipersetujui oleh Perdana Menteri sendiri melalui mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas beliau, kedua-dua barangan tersebut telah diberi subsidi oleh kerajaan sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) jadi sesiapa yang didapati masih menjual melebih harga ditetapkan sudah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

“Peniaga yang didapati menjual kedua barangan tersebut melebih harga yang telah diwartakan kerajaan adalah melakukan kesalahan di bawah AKHAP 2011 dan boleh dikenakan tindakan kompaun atau penjara.

“Kesemua barangan yang dikenakan harga barang kawalan akan menggunakan label berwarna merah jambu maka jika ada peniaga yang tidak meletakkan label tersebut, dia juga telah melakukan kesalahan dari segi pelabelan harga dan boleh dikompaun RM1,000,” ujar beliau.

Tambahnya, jika harga pada label berkenaan juga adalah tidak seperti harga yang telah diwartakan, maka AKHAP 2011 juga boleh dilaksanakan ke atas peniaga.

Terdahulu, jemaah menteri dilaporkan bersetuju memberi subsidi ayam dan telur kepada penternak bermula 5 Februari lalu hingga 4 Jun depan iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan SHMKM.

Subsidi sebanyak RM0.60 sen per kilogram (kg) diberi kepada penternak ayam selepas mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 per kg dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 per kg manakala subsidi telur pula adalah sebanyak RM0.05 sen sebiji bagi semua kategori.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI