KOTA BHARU – Sebanyak 13 majikan di Kelantan telah didakwa di mahkamah sepanjang tahun lalu sehingga semalam atas kesalahan hal-ehwal Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melibatkan syarikat dan pekerja.
Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, majikan yang didakwa didapati tidak mencarum Perkeso untuk pekerja, gagal mendaftar perusahaan dan pekerja yang bekerja di syarikat mereka.
Menurutnya, denda yang dikenakan terhadap 13 majikan itu dianggarkan sebanyak RM17,600 sepanjang tempoh tersebut.
“Kita terpaksa mengambil tindakan tegas bagi memastikan majikan mematuhi peraturan melalui pemantauan atau mengadakan operasi secara berkala di semua sektor pekerjaan. Ia merupakan salah satu usaha untuk mengesan majikan culas.
“Selain itu, masih ramai majikan yang gagal mendaftarkan pekerja mereka di Perkeso dengan memberi pelbagai alasan seperti pekerja masih baharu, tidak tahu pekerja warga asing perlu didaftarkan, tidak arif berkaitan Perkeso dan menyangka perniagaan kecil tidak perlu mendaftar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. -K! ONLINE