KUALA LUMPUR – Seramai 139 pengunjung termasuk enam pemilik pusat hiburan dikompaun sebanyak RM145,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam serbuan berasingan ke atas enam premis sekitar ibu kota bermula minggu lepas.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, serbuan yang bermula pada 4 Februari itu dijalankan sepasukan pegawai JPJKK dan berakhir lewat malam tadi.
“Hasil serbuan mendapati kesemua pusat hiburan tersebut telah beroperasi dan melakukan kesalahan melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 yang masih dikuatkuasakan ketika ini.
“Susulan itu, kompaun sebanyak RM1,000 telah dikeluarkan keatas kesemua pemilik premis manakala seramai 139 pengunjung turut dikompaun RM 1,000 setiap individu menjadikan nilai keseluruhan berjumlah RM145,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Azman berkata sepanjang operasi dijalankan sejak 1 Januari, pihaknya telah berjaya mengeluarkan 280 kompaun terhadap pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan yang gagal mematuhi SOP ditetapkan.
“Kita telah berjaya mengeluarkan sebanyak 280 kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM280,000 keatas pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan yang gagal mematuhi SOP Covid-19.
“Operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19 demi kesejahteraan masyarakat bersama,” ujarnya. – K! ONLINE