JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan menggunakan imej Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘pelaris’ ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Tun Mahathir tetap dilihat sebagai figura yang mempunyai aura tersendiri dan mampu untuk menarik sokongan serta berupaya menambah keyakinan rakyat bagi memilih parti itu.
Katanya, dengan meletakkan imej bekas Perdana Menteri itu yang disayangi oleh rakyat di negeri ini sebagai ‘poster boy’ dapat memberi nilai tambah kepada gerakan jentera Pejuang.
“Tun Mahathir tidak bertanding di sini dan tidak berhasrat untuk menjadi Menteri Besar. Tetapi saya kira Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan pemimpin parti gambarnya boleh disekalikan dalam poster ketika berkempen.
“Saya juga lihat Tun Mahathir masih tetap disayangi rakyat Johor. Oleh sebab itu, saya rasa tidak salah jika imej beliau dipaparkan dalam poster untuk meyakinkan rakyat,” katanya. -K! ONLINE