SHAH ALAM – Kegiatan penyeludupan dan pengedaran rokok di sekitar negeri ini dipercayai didalangi empat kumpulan utama yang mampu mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap minggu.
Malah, ada antara sindiket tersebut didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap selain memiliki senjata.
Setiap daripada sindiket rokok ini juga mempelopori penjualan rokok-rokok tertentu yang kebanyakan diseludup masuk dari Indonesia menggunakan kapal dagang atau sistem barter dan bot pancung.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, rata-rata ketua kumpulan penyeludup ini adalah mereka yang berusia 50-an dan telah aktif menguasai pasaran rokok seludup sejak lebih 20 tahun.
Katanya, rokok-rokok seludup itu kemudian akan diedarkan dalam kalangan peruncit warga tempatan, Bangladesh dan Indonesia menerusi beberapa kumpulan yang bertindak sebagai ‘pemborong’.
“Faktor utama permintaan terhadap rokok seludup adalah kerana harga yang murah iaitu serendah RM4 hingga RM8 sekotak bagi 20 batang.
“Rasanya juga sesuai dengan selera perokok tempatan, malah dikatakan lebih sedap daripada rokok yang ada di pasaran. Jika bekalan kurang, maka harga rokok boleh naik sehingga RM11 sekotak dan masih murah berbanding rokok bercukai,” katanya.
Beliau yang enggan mendedahkan nama-nama geng bagi mengelakkan gangguan risikan mengkategorikannya mengikut abjad dengan ‘Geng A’ adalah pembekal rokok seludup sekitar kawasan Lembah Klang dengan menumpukan jenama rokok seperti John d-Blend, Luffman, Saat, U2 dan Zon King.
Bagi Geng B pula, mereka mempelopori daerah Shah Alam dan Puchong dengan memfokuskan rokok seludup jenama Surya dan LA. Geng C pula adalah pembekal rokok John D-Blend di Kuala Lumpur, sementara Geng D untuk kawasan sekitar Rawang, Sungai Buloh dan Gombak menerusi rokok jenis kretek Nusantara dan Gudang Garam.
“Keempat geng ini tidak pernah berselisih dan mempunyai hubungan dalam perniagaan kerana setiap geng mempunyai jenama rokok masing-masing untuk diedarkan,” dedahnya.