fbpx

MPMMN tetapkan hala tuju baharu PPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (kanan) mempengerusikan mesyuarat MPMMN di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) hari ini bersetuju menetapkan hala tuju baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan mengambil kira keperluan semasa serta memasukkan komponen baharu ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembinaan PPR baharu akan mengambil kira elemen seperti keterhubungan dan akses internet seperti fibre to the home (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan lebih selesa.

Selain itu, katanya, MPMMN turut membincangkan strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak pemaju perumahan swasta.

“Kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

“Oleh itu, KPKT memperkenalkan Home Ownership Programme (HOPE) bagi melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam pemilikan perumahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri memberitahu, mesyuarat juga mahu Bank Negara melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya memudahkan pemilikan perumahan.

Jelasnya, ini bagi memastikan institusi kewangan mempermudahkan pinjaman untuk golongan B40 dan M40 membeli rumah PPR dan rumah mampu milik, dengan fokus diberi untuk pembelian terus dan rent to own (sewa untuk milik).

“Semua pihak perlu memainkan peranan supaya sasaran Satu Keluarga Satu Rumah dapat direalisasikan.

“Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi, kerajaan negeri menyediakan tanah manakala bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan.

“Dalam masa yang sama, kerajaan komited untuk menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda supaya mereka dapat memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, Mesyuarat dipengerusikannya itu turut memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah.

“Kebimbangan mesyuarat adalah kos bahan binaan seperti besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan.

“Justeru, Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) diarah supaya menangani perkara ini. Jika ia berpunca daripada permit import (AP), mesyuarat mencadangkan supaya ia dibuka kepada semua,” katanya.

Beliau berkata, MPN juga mendengar pembentangan oleh Khazanah Research Institute dan Bank Negara berkenaan data-data semasa serta isu-isu berbangkit dalam aspek perumahan rakyat serta akses kepada pembiayaan bagi perumahan mampu milik.

“Maklumat-maklumat ini akan dijadikan asas kepada kerajaan untuk menambah baik strategi penyediaan perumahan mampu milik serta pengukuhan polisi-polisi berkaitan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI