fbpx

Buli siber jadi barah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kes kemurungan atau lebih teruk lagi membunuh diri dalam kalangan mangsa buli siber semakin kerap dilaporkan. - Gambar hiasan
LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR, WARTAWAN EKSEKUTIF

Kejadian buli di media sosial bukanlah boleh dianggap sebagai satu lagi fenomena baharu kerana jika dilihat secara teliti, ia boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari.

Buka sahaja ruangan komen di topik-topik atau hantaran-hantaran tertentu yang menarik perhatian umum, komen jelik pasti akan ditemui dengan mudah.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya kes kemurungan atau lebih teruk lagi membunuh diri dalam kalangan mangsa buli siber semakin kerap dilaporkan sehingga tidak lagi menimbulkan rasa hairan dalam diri masyarakat umum.

Di Malaysia sahaja, terdapat beberapa nama yang sering kali menjadi sasaran netizen, antaranya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat, Iqram Dinzly mahupun Zarina Anjoulie.

Begitu juga di luar negara, tiada bezanya dengan situasi di Malaysia. Bahkan baru-baru ini seorang atlet bola tampar Korea Selatan, Kim In Hyuk, 27, membunuh diri kerana buli siber.

Alasan In Hyuk dibuli adalah kerana wajahnya yang terlalu ‘cantik’ bagi seorang lelaki. Dia dikecam teruk sehingga akhirnya atlet itu mengambil keputusan menamatkan riwayatnya sendiri.

Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, suatu perbuatan yang dilihat bertentangan dengan norma masyarakat pastinya mendapat perhatian umum, justeru ne­tizen menggunakan media sosial untuk menegur tingkah laku itu.

Bagaimanapun, ujarnya, ia dilakukan tanpa mengambil kira perasaan dan keadaan mental pihak ditegur sehinggakan ada masanya ia menyebabkan tahap kesihatan mental mereka terjejas.

“Jika pihak ditegur mempunyai masalah mental, ia boleh menjadikannya bertambah te­ruk sehingga akhirnya mereka mengambil tindakan drastik se­perti membunuh diri.

“Sebab itulah perlu ada pe­rasaan empati sebelum melakukan teguran. Jika mahu menegur, tempatkan diri kita dahulu dalam keadaan individu berkenaan dan bayangkan sekiranya diri sendiri ditegur secara kasar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Pada masa sama, menurut Fauziah, kira-kira 40 peratus pengguna media sosial di negara ini adalah golongan remaja yang berusia antara 12 hingga 19 tahun.

Justeru, ujarnya, media sosial merupakan antara tempat bagi mereka untuk mencari identiti diri.

“Mereka menegur orang de­ngan lantang dan tidak bertapis. Tingkah laku itu pula mungkin juga dilakukan kerana remaja-remaja ini mahu melepaskan stres.

“Ditambah pula sebelum ini adanya Perintah Kawalan Perge­rakan, jadi media sosiallah tempat untuk ia dilakukan. Akses kepada gajet kini pula begitu se­nang,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad berkata, tindakan individu mengeluarkan komen negatif di media sosial adalah kerana mereka mahukan perhatian.

“Berdasarkan perspektif psikologi, komen negatif di media sosial adalah salah satu bentuk helah bela diri seseorang individu untuk mendapatkan perhatian orang lain.

“Ia selalu menjadi satu bentuk projeksi dan ekspresi seseorang terhadap sesuatu perkara, jika komennya negatif, maka ia menunjukkan respon tidak puas hati atau tidak bersetuju dengan sesuatu tingkah laku.

“Komen dengan niat menjatuhkan orang lain pula bertujuan menjadi satu alat untuk menyakiti hati seseorang,” katanya.

Disebabkan itu, katanya, tindakan mengeluarkan komen tidak baik akan meninggalkan kesan negatif kepada pemikiran dan tingkah laku seseorang itu serta mengesahkan satu persepsi negatif yang ingin mereka ­sampaikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI