fbpx

Politik boleh, asalkan rakyat tidak sengsara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PENULIS masih ingat, bagaimana seorang demi seorang pemimpin politik ‘menghentam’ Sabah hanya kerana pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu dua tahun lalu.

Tidak cukup dengan kritikan ahli politik, golongan cerdik pandai dan pakar-pakar pelbagai bidang turut sama menyalahkan PRN Sabah yang dianggap sebagai punca berlakunya lonjakan kes Covid-19 ketika itu.

Tidak dinafikan, kesan pelaksanaan PRN Sabah memang telah mencetuskan jangkitan Covid-19 secara besar-besaran, bukan hanya di Sabah, malah merebak sehingga ke tanah Semenanjung.

Detik hitam itu jelas memberi seribu satu pengajaran buat negara, betapa perebutan kuasa yang keterlaluan bukan hanya menjejaskan struktur pentadbiran, malah boleh membinasakan kehidupan rakyat.

Mujur kewujudan vaksin selepas itu telah meredakan sedikit ketegangan, terutama dalam membendung kesan jangkitan yang lebih serius.

Di Malaysia sendiri, negara secara keseluruhannya boleh dianggap berjaya dalam mengawal penularan Covid-19 dalam kapasiti yang besar, sehingga membolehkan dua lagi PRN iaitu di Melaka dan Sarawak dilaksanakan tanpa berlakunya gelombang baharu.

Masalahnya, dalam kita menanti satu lagi PRN iaitu di Johor pada 12 Mac ini, negara tiba-tiba berdepan peningkatan luar biasa dari segi jumlah jangkitan yang dikaitkan dengan kehadiran varian Omicron.

Berdasarkan jangkaan Kementerian Kesihatan (KKM), kes positif Covid-19 di negara ini boleh mencecah angka 22,000 pada akhir Mac ini, iaitu bulan di mana sesi persekolahan baru dibuka.

Berbeza dengan PRN Sabah yang pada asalnya tidak mendapat restu pelbagai pihak, PRN Johor pula dianggap sebagai medan terbaik buat parti-parti politik untuk membuktikan wibawa mereka sebagai parti paling relevan ketika ini.

Buktinya, hampir kesemua parti politik di Malaysia telah menyuarakan hasrat untuk merebut 56 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Johor.

Tidak hanya penyertaan gabungan parti-parti utama seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), PRN Johor juga bakal menyaksikan kemunculan Muda dan

Pejuang selain parti yang berpangkalan di Sabah iaitu Warisan.

Situasi itu berlaku pada ketika rakyat masih kebingungan dengan keputusan kerajaan melonggarkan pelbagai prosedur operasi standard (SOP).

Antara yang diperdebatkan adalah cadangan untuk membuka pintu sempadan negara, selain SOP imbasan suhu yang akan dimansuhkan bermula 11 Februari ini.

Alasan kerajaan, peningkatan kes ketika ini tidak menjejaskan sistem kesihatan negara memandangkan hampir 99 peratus populasi dewasa telah divaksin.

Satu-satunya perkara yang masih diusahakan kerajaan adalah untuk meyakinkan lebih ramai individu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengurangkan jangkitan yang lebih serius.

Berbeza dengan orang politik, satu-satu perkara yang mereka usahakan ketika ini adalah untuk memastikan periuk nasi mereka sentiasa terjaga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI