fbpx

78 pengunjung pusat hiburan dikompaun langgar SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara pengunjung pusat hiburan yang dikompaun menerusi serbuan dijalankan polis IPK KL dan Brickfields malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai 78 individu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam serbuan sebuah pusat hiburan di Bangsar Baru, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan itu dijalankan sepasukan polis dari Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada pukul 11.30 malam.

“Hasil serbuan mendapati premis itu beroperasi tanpa lesen dan kita mengenakan tindakan saman ke atas pengurus premis tersebut yang merupakan seorang lelaki berusia 38 tahun.

“Selain itu, kita turut membuat rampasan dalam bentuk resit jualan, komputer riba, aksesori muzik, pembesar suara dan mikrofon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Amihizam, semasa pemeriksaan dijalankan, terdapat seorang pelanggan bertindak cuba melepaskan diri dan telah ditahan atas kesalahan menghalang penjawat awam di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, hasil ujian air kencing mendapati dua pengunjung positif dadah dan keduanya disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepada setiap pengunjung serta pengurus premis itu menjadikan jumlah keseluruhan kompaun bernilai RM79,000.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan 1952 dan Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (PPN) 2021,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI