ABU DHABI – Chelsea melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Kelab Dunia selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Al-Hilal di Stadium Mohammed Bin Zayed awal pagi semalam.
Gol tunggal perlawanan menerusi penyerang, Romelu Lukaku pada minit ke-32 membantu juara Eropah itu mara ke pentas final biarpun menampilkan aksi kurang meyakinkan di separuh masa kedua.
Penolong pengurus, Zsolt Low mengakui gembira dengan aksi yang ditampilkan barisan pemainnya biarpun bermula agak perlahan selain mensia-siakan banyak peluang terhidang.
“Semua pemain bekerja keras pada perlawanan malam ini (semalam). Kami bermula dengan agak gugup kerana sukar untuk mencari rentak permainan seperti biasa. Bagaimanapun, kami berjaya cari jalan penyelesaian.
“Walaupun sudah menang tetapi kami perlu memperbaiki banyak kelemahan lagi untuk menghasilkan aksi terbaik. Saya tahu kejohanan ini sangat penting kepada kelab, jadi kami tidak boleh sia-siakan,” katanya.
Pada kejohanan tersebut, pengurus Chelsea, Thomas Tuchel tidak dapat bersama pasukan selepas didapati positif Covid-19 sekali gus memberi tamparan hebat buat mereka dalam memburu trofi tersebut.
Chelsea berpeluang untuk memenangi kejohanan itu buat kali pertama dalam sejarah kelab apabila dijadualkan bertemu juara zon Amerika Selatan, Palmeiras awal pagi Ahad nanti. – AGENSI