PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menganggap khabar angin kononnya dua pemimpin parti mahu kembali kepada UMNO sebagai satu bentuk ‘perang saraf’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perang saraf dalam politik biasa berlaku dalam politik tanah air terutama ketika menjelang PRN.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, khabar angin itu juga antara lain bertujuan mewujudkan perang psikologi selain ingin menunjukkan kepincangan dalam Bersatu.
“Mereka hanya mahu maklumkan kepada rakyat Johor supaya jangan percaya kepada Bersatu kerana pemimpinnya pun nak balik kepada UMNO.
“Kalau khabar angin tak payah percaya, kalau surat layang lagilah jangan percaya, namun kalau diumumkan oleh orang yang nak keluar itu, kena percayalah,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas desas desus di media sosial sejak semalam kononnya dua menteri dari Bersatu mahu menyertai semula UMNO. – K! ONLINE