PUTRAJAYA – Orang ramai perlu mengelakkan daripada mendapatkan perkhidmatan perubatan estetik terutama prosedur-prosedur invasif yang ditawarkan di rumah, hotel, spa atau salun kecantikan atau premis lain yang meragukan.
Hal ini kerana prosedur-prosedur ini berpotensi untuk menyebabkan komplikasi kesihatan, kecacatan serta kematian kepada pelanggan jika dikendalikan oleh individu tidak berkelayakan.
Pengarah Bahagian Amalan Kementerian Kesihatan (KKM), Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, prosedur perubatan estetik juga mempunyai senarai kontraindikasi yang hanya boleh dikenal pasti oleh pengamal perubatan sahaja.
Menurutnya, sehubungan itu perkhidmatan perubatan estetik hanya boleh diberikan oleh pengamal perubatan berdaftar bertauliah di premis berdaftar atau dilesenkan di bawah KKM.
“Hanya pengamal perubatan berdaftar ditauliahkan dengan Letter of Credentialing & Privileging of Aesthetic Medical Practice (LCP) sahaja yang dibenarkan untuk menjalankan prosedur-prosedur perubatan estetik.
“Ia melibatkan seperti pembedahan plastik (termasuk rhinoplasty, alarplasty, liposuction, kelopak mata blepharoplasty dan sebagainya), suntikan Botox dan Filler, Laser, High Intensity Focused Ultrasound (HIFU) dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- K! ONLINE