JOHOR BAHRU – Sebanyak 250 unit mesin melombong bitcoin dirampas hasil serbuan ke atas tiga premis berasingan sekitar bandar raya ini antara 6 hingga 8 Februari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam operasi itu seramai lima lelaki tempatan dan seorang wanita diberkas masing-masing berusia 40 hingga 52 tahun.
Menurutnya, kejayaan operasi terbabit hasil maklumat dan risikan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor serta Unit Seal, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Zon Selatan.
“Hasil serbuan telah berjaya merampas sebanyak 250 unit mesin melombong bitcoin dari tiga premis berasingan melibatkan rampasan sebanyak RM375,000.
“Dengan tertangkapnya enam individu berkenaan, Polis Johor percaya dapat menumpaskan satu sindiket mencuri arus elektrik sejak awal tahun lalu,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, penggunaan bekalan elektrik tanpa rekod itu menyebabkan TNB mengalami kerugian kira-kira RM390,582.
“Kegiatan mengubah suai pendawaian eletrik ini boleh menyebabkan berlaku kebakaran, kerosakan atau gangguan arus elektrik ke atas premis berdekatan,”katanya.
Ujarnya, kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan.
TNB turut mengambil tindakan dibawah Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 ke atas pemilik akaun berdaftar.-K! ONLINE