KUANTAN – Pahang mengorak langkah proaktif bagi mengatasi masalah banjir dalam jangka masa panjang apabila bakal melaksanakan semula Program Perumahan Banjir yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pada masa ini kerajaan negeri mengenal pasti empat daerah bagi membina Pusat Penempatan Banjir Kekal iaitu Kuantan, Lipis, Raub dan Pekan.
“Buat masa ini, empat daerah ini telah dikenal pasti namun ia belum muktamad (dari segi pemindahan).
“Ini kerana kerajaan negeri perlu berjumpa dengan mangsa terlibat terlibat dahulu, kita tidak mahu pindahkan mereka secara paksa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program Perumahan Banjir yang pernah dilaksanakan di negara ini akan dipertimbang dilaksanakan semula dalam usaha mengatasi masalah banjir yang berlaku berulang-ulang di sesuatu tempat.
Ismail Sabri dilaporkan berkata program perumahan tersebut merupakan antara cadangan jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir secara tuntas dan menyeluruh selain pembinaan benteng, mendalamkan sungai dan sebagainya. – K! ONLINE.