PETALING JAYA – Perkahwinan yang kekal semestinya telah menjadi impian setiap pasangan suami isteri setelah terlafaznya akad dan perpisahan itu adalah mimpi ngeri buat mereka.
Menerusi perkongsian Peguam Syarie, Atikah Rashid di laman Twitter, memaklumkan sepanjang pemerhatiannya mengendalikan kes di mahkamah, golongan wanita yang paling kerap dilanda kesusahan adalah suri rumah.
“Saya sudah lihat banyak penderitaan para isteri di mahkamah.
“Mereka ini selalunya suri rumah yang tidak ada pendapatan dan harta,” ciapnya.
Jelasnya, lebih menderita apabila para isteri ditinggalkan sehelai sepinggang bersama anak-anak tanpa diberikan sebarang nafkah untuk meneruskan kehidupan.
“Suami tinggalkan isteri terkontang-kanting dengan anak-anak dan nafkah anak kadang-kadang beri dengan jumlah yang tidak cukup dan ada yang langsung tidak memperdulikan.
“Bukan setakat itu, kadang isteri nak pergi mahkamah dapatkan hak sendiri dan anak-anak pun tidak mempunyai duit.
“Nama pun suri rumah, pasti tugasnya jaga anak-anak dan rumah sepenuhnya, mana nak ada duit. Kesian pada mereka sampai boleh menitis air mata kita tengok,” luahnya.
Dalam pada itu, Atikah turut berpesan kepada kaum isteri di luar sana agar membuat persediaan sekiranya tonggak keluarga meninggal dunia, bukan perpisahan semata-mata.
“Saya memang menggalakkan para isteri bekerja dan carilah pendapatan sendiri dan jangan hanya melahirkan anak tapi tiada perancangan untuk kebajikan dan pendidikan anak dengan usaha sendiri,” katanya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan oleh orang ramai dan rata-ratanya bersetuju dengan saranan peguam tersebut agar golongan wanita perlu berdikari dalam mencari pendapatan hidup.
“Arwah mak dulu selalu cakap, orang perempuan kena ada duit sendiri jangan harap duit suami semata-mata, yang penting jangan ikut sangat arahan suami kalau tidak memberi manfaat pada diri dan keluarga,” kata @_AnasTaCha.
“Tiada siapa yang meminta pengakhiran perkahwinan dengan penceraian cuma sediakan payung sebelum hujan, isteri kena bijak urus kewangan bila dapat nafkah dan simpan di satu tempat yang tidak ada siapa tahu termasuk suami, anggap untuk kegunaan kecemasan,” ujar @GRLSH3QDO1T. – K! ONLINE