PUTRAJAYA – Ribuan penduduk yang berada di sekitar kawasan kejiranan Presint 7 di sini tidak perlu berasa risau apabila terdengar siren amaran dibunyikan pada hari ini dan esok.
Menurut Perbadanan Putrajaya (PPj) menerusi hantaran dalam akaun sosial rasminya, ia hanya latihan pengujian siren yang dilaksanakan oleh Putrajaya Command Centre (PCC).
“Sebelum siren tersebut dibunyikan, pihak PCC akan membuat pengumuman awal melalui pembesar suara di sekitar kawasan bagi memaklumkan tujuan pengujian itu,” katanya lagi.
Ia menambah bahawa tempoh latihan itu ditetapkan turut tidak terlalu lama kerana waktu sistem berkenaan diuji cuma dari pukul 10 pagi hingga 11 pagi dan 4 petang hingga 5 petang.
Lokasi pengujian siren di sisiran tasik tersebut yang terletak bersebelahan dengan Cyberjaya, Selangor juga agak jauh dari kawasan berpenduduk namun masih lagi boleh didengar jelas.
PCC yang dibangunkan PPj sejak 2004, beroperasi 24 jam sebagai salah satu inisiatif pelan kerangka Bandar Pintar Putrajaya yang disusun oleh pihak kerajaan dari 2018 hingga 2025.- K! ONLINE