PUTRAJAYA – Hubungan diplomatik Malaysia dengan Rusia yang dijalin erat lebih lima dekad lalu terus diperkukuhkan menerusi perbincangan dua hala antara kedua-dua menteri luarnya.
Perkara tersebut disahkan oleh Datuk Saifuddin Abdullah dalam hantaran melalui akaun sosial beliau sebagai merujuk perbualan telefon dengan rakan sejawatannya, Sergey Lavrov.
Menerusi perbincangan secara panggilan yang berlangsung kelmarin, mereka berdua turut berbincang mengenai bidang potensi kerjasama boleh diteroka antara dua negara berkenaan.
“Semasa perbualan itu, kami ada membincangkan peranan boleh dilakukan oleh Suruhanjaya Bersama mengenai Pendidikan, Saintifik dan Kerjasama Teknikal dan Kebudayaan,” katanya.
Malaysia dan Rusia menjalinkan hubungan diplomatik moden susulan pemeteraian bersejarah melibatkan perjanjian perdagangan antara kedua-dua negara berkenaan pada 3 April 1967.
Langkah tersebut menyaksikan Rusia mula membuka kedutaan besar di Kuala Lumpur pada April 1968 manakala Malaysia membuka canserinya di Moscow lebih tujuh bulan kemudiannya.- K! ONLINE