fbpx

Penyelewengan dana, PCM lapor SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Murali (kiri) bersama Naib Presiden PCM, R. Muralitharan ketika hadir membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Parti Cinta Malaysia (PCM) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan dana sumbangan projek penternakan arnab melibatkan seorang ahli Parlimen.

Ketua Penerangan Nasional PCM, Murali Ballah berkata, laporan tersebut dibuat ke atas ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui dan mendakwa berlakunya penyalahgunaan dana peruntukan Parlimen.

“Menerusi satu hantaran di Facebook pada 6 Februari lalu, June Leow memaklumkan telah menghulurkan sumbangan menerusi pusat khidmat rakyat parlimen Hulu Selangor untuk mengembangkan sektor penternakan arnab di Serendah, Selangor.

“Namun pada Isnin lalu, individu yang didakwa menerima sumbangan iaitu Aylwin Chan Wai Tuck telah membuat satu laporan polis menafikan perkara tersebut,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Menurut Murali, semakan lanjut yang dilakukan pihaknya juga mendapati bahawa June Leow turut meminta agar sebuah sangkar arnab tersebut dipasang di rumahnya.

“Mengikut semakan invois yang dilakukan, kami dapati sebanyak RM3,470 telah dibayar untuk projek berkenaan yang melibatkan pembinaan sebanyak tujuh sangkar arnab namun salah satu daripadanya telah diarahkan untuk dipasang di rumah beliau.

“Memang jumlahnya kelihatan sedikit namun ia melibatkan wang rakyat yang harus disiasat. Kami juga mendesak agar SPRM menyiasat segala sumbangan beliau sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu kerana meragukan,”ujar beliau.

Terdahulu, Aylwin yang juga merupakan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Pemuda Parti Keadilan Rakyat pada 7 Februari lalu telah membuat laporan polis bagi menafikan penglibatannya dengan sebarang projek penternakan arnab.

Aylwin juga dilaporkan berkata bahawa wang yang diterimanya daripada June Leow adalah sebagai bayaran untuk pemasangan tujuh sangkar arnab yang dibuat oleh syarikatnya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI