IPOH – Lokasi pelancongan di pusat bandar Ipoh akan dibangun mengikut konsep mesra pejalan atau ‘Walkable Ipoh’ dengan menyediakan kemudahan untuk pejalan kaki dan berbasikal secara selesa dan selamat.
Kawasan ini meliputi pekan lama Ipoh, pekan baru Ipoh dan kawasan pembangunan Greentown.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, program ‘Walkable Ipoh’ ini dijangka menjadi kenyataan pada tahun 2030.
Menurut beliau, kawasan berkenaan dipilih berdasarkan pelbagai tarikan pelancongan, komersial dan kemudahan sedia ada selain merupakan kawasan tumpuan umum.
“Penyediaan kemudahan pejalan kaki dan lorong berbasikal yang selesa dan selamat sebagai mod pergerakan dapat mengurangkan kesesakkan di kawasan tersebut dengan jangka masa perjalanan singkat.
“Konsep pembangunan mesra pejalan ini akan menyediakan kemudahan yang inklusif meliputi laluan pejalan kaki, lorong basikal, kemudahan laluan kerusi roda, mikro mobiliti dan kemudahan bas,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.
Konsep ini juga selaras dengan terma Ipoh sebagai Bandar Sihat Mesra Pejalan Kaki. – K! ONLINE.