fbpx

Misteri ‘longlai’ naratif Death on the Nile

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Death On The Nile merupakan layar perak yang diadaptasi daripada sebuah novel klasik United Kingdom.

MENJADI satu beban yang agak berat buat pengarah, Kenneth Branagh diberi tugas menterjemah novel klasik United Kingdom dalam bentuk filem berjudul Death on the Nile.

Bukan hanya menjawat peranan sutradara, Branagh juga melakonkan karakter utama kisah berkenaan iaitu Hercule Poirot, seorang detektif peribadi popular dunia dan bekas anggota polis.

KREDIBILITI Kenneth Branagh sebagai pelakon dan pengarah diperakui dalam Death on the Nile.

Berpeluang menonton filem bertemakan thriller misteri tersebut minggu lalu, penulis harus mengakui bahawa sebelum berangkat ke panggung, jiwa seperti meronta-ronta kerana tidak sabar untuk menonton terjemahan layar perak.

Kurang impak

Selepas 127 minit tontonan, Death on the Nile boleh disifatkan sebagai sebuah naskhah mahal dari segi sinematografi terutamanya. Pun begitu, dari aspek utama lain seperti perkembangan karakter, naratif dan nilai suspens atau misteri sedikit kurang memberi impak.

Bagaimanapun, dari segi permainan karakter, Branagh menjalankan tugas yang cukup cemerlang. Gaya pertuturannya, aksen, kebijaksanaan ilmu penyiasatan diserlahkan dengan bagus bagi merungkai misteri yang berlaku di atas kapal pelayaran mewah, SS Karnak menelusuri salah satu sungai yang terkenal di dunia, Sungai Nil.

Kenneth Branagh bukan hanya memainkan peranan sebagai pelakon utama, dia juga mengisi bangku pengarah.

Karakter-karakter lain yang mempunyai potensi untuk ‘membunuh’ iaitu Linnet, Simon dan Jacqueline bagaimanapun tidak dikembangkan dengan baik atau selayaknya sebagaimana penglibatan para pelakon terlibat iaitu Gal Gadot, Armie Hammer dan Emma Mackey.

Buat penulis secara peribadi, tumpuan dan perhatian diberikan secara berlebih-lebihan yang akhirnya memberi kelebihan buat watak utama, Hercule Poirot dilakonkan oleh Branagh. Pujian ekstra juga buat dirinya yang menjayakan tugas sebagai pengarah.

Karakter tak menyerlah

Watak-watak lain yang dibangunkan dalam versi filem sebenarnya tidak mengecewakan. Tom Bateman sebagai Bouc dan Annette Bening (Euphemia) yang mempunyai pertalian ibu dan anak ‘orang kaya’ berjaya meluncurkan peranan masing-masing dengan sempurna.

Menyentuh soal naratif, tidak banyak yang boleh dikekalkan sebagai misteri memandangkan buat mereka yang pernah membaca versi novel, pasti sudah tahu bagaimana permulaan dan pengakhiran kisah Death on the Nile.

Watak Gal Gadot sebagai Linnet Ridgeway-Doyle kurang diterjemahkan dengan
baik.

Pun begitu, kalau ditanya apa kualiti yang membuatkan penulis menonton filem ini, aspek utamanya adalah sinematografi.

Kalau ditanya tentang kemungkinan untuk berkunjung lebih dari sekali ke panggung bagi menonton filem ini, jawapannya mungkin tidak.

Hal ini kerana, Death on the Nile tidak lebih daripada sebuah filem adaptasi novel bernuansa misteri dilakonkan bintang-bintang ternama, namun keberkesanannya tidak terlalu ‘mengena’.

Emma Mackey yang popular dengan siri Sex Education menjayakan watak wanita yang sukar menerima realiti sudah putus tunang bernama Jacqueline de Bellefort.

Naskhah ini memasuki senarai filem yang penulis sudah tonton dan tidak akan melekat lama dalam minda.

Mungkin apabila sudah sampai di rumah, memori tentang naskhah ini sudah terpadam dan pencarian filem-filem ‘worth-watching’ yang lain akan diteruskan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI